Khamis, 7 Februari 2013

Tips Tidurkan Bayi

Assalamualaikum dari alam mama,

Tidur kita tidak lagi sama sejak kehadiran cahaya mata, berbanding ketika kita bujang dan anak dara dahulu. Namun, ia bukanlah masalah kerana demi anak, segalanya mungkin.

Tetapi ada juga ibu bapa yang bermata panda (ada lingkungan gelap di sekitar mata - kan macam mata panda) di siang hari. Semuanya gara-gara anak kecil tidak tidur dengan baik di malam hari. Ada juga disebabkan anak kecil yang tidak sihat, atau mungkin juga lapar.

Mari kita tengok beberapa tips atau cara supaya kita ibu bapa dapat membuatkan anak kita tidur dengan lebih baik.



  1. Buatkan bayi dapat membezakan siang dan malam – Mungkin boleh jadikan waktu makan atau minum semasa siang sedikit ceria dan penuh komunikasi, dan sewaktu makan/minum susu pada waktu malam, lebih tenang dan senyap.
  2. Beri peluang kepada bayi untuk tidur secara sendiri kira-kira enam hingga lapan minggu. Ketika masih berjaga, tetapi sudah mengantuk, letakkannya di atas katil atau tempat tidurnya. Jangan buaikan bayi atau menyusukannya sehingga tertidur. Pada usia ini, segala tabiat ini akan menjadi amalannya.
  3. Tetapkan satu rutin tidur, seperti mandi, menyusu, bermain sebentar, tukar lampir dan baju dan seterusnya menyanyi atau bercerita. Adalah lebih baik jika si ibu berzikir di samping bayi.
  4. Jadikan bilik tidurnya sesuatu yang selesa buatnya. Tenang, bersih dan nyaman.
  5. Berikannya objek keselamatan, seperti selimut bayi, bantal atau mainan patung. Sekurang-kurangnya ia peneman di kala si kecil itu tidur. Tips membuatkan bayi suka akan objek itu ialah si ibu perlu berkepit dahulu dengan objek, supaya ia berbau seperti si ibu. Bayi amat suka akan bau ibu, dan ingat, bayi ada deria bau yang amat kuat.
  6. Ada sesetengahnya menganjurkan supaya biar bayi menangis selepas dibaringkan. Ia amat sesuai ketika usianya sekitar empat hingga lima bulan. Dekati bayi jika ia menangis, tepuk perlahan-lahan sambil menenangkannya dan tegaskannya sekarang adalah masa untuk tidur, tetapi jangan mendukungnya dan tinggal kembali selepas beberapa ketika. Jenguk kembali dua hingga lima minit kemudian, buat perkara yang sama dan ulang beberapa kali sehingga bayi tertidur. Panjangkan masa antara setiap kali menjenguknya.
  7. Sokongan dan bantuan suami amatlah diperlukan. Ibu boleh bergilir dengan suami dalam tugas menenangkannya supaya bayi tidur kembali.
  8. Peluk dan berpura-pura tidur. Jika bayi tidur bersama, tidak salah jika si ibu baring di sebelahnya dan memeluknya. Jangan lupa katakan ia adalah waktu tidur dan ibu pejamkan mata sekali. (Jangan ibu terus tertidur, sudahlah)
  9. Si ibu, jika sudah tidur, perlu juga peka jika anak kecilnya bangun di waktu malam. Jangan pula si kecil sudah melalak lapar, si ibu masih lagi memejamkan mata dan berdengkur. Jika cepat menyusukan bayi, kebarangkalian untuk si kecil menangis dan susah tidur semula adalah lebih rendah.
Apa pun caranya, pastikan bayi anda selesa dengan persekitarannya. Dari segi lampin, pakaian dan juga kesihatan badannya. Ibu-ibu juga perlu ingat, peringkat umur adalah berkait rapat dengan mudahnya bayi tidur dengan baik. Sesuaikan diri dan cara dengan peringkat pertumbuhannya.

admin: selamat malam, tidurlah sayangku. Anak kita, acuan kita.

Bacaan Dari: BabyCenter

0 ulasan: