Khamis, 28 Julai 2011

Nutrisi Untuk Ibu Hamil

Ibu-ibu hamil biasa mengalami situasi peningkatan kadar pemakanan. Ini adalah normal kerana semasa hamil, nutrien yang diambil melalui makanan turut sama dikongsi oleh bayi yang dikandung. Hal ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan berat badan dan jika tidak dikawal, pelbagai masalah lain akan timbul, seperti kencing manis, darah tinggi dan lain-lain.

Bagi melengkapi tuntutan nutrien di samping menjaga pertambahan berat badan, ibu-ibu dinasihatkan supaya mengawasi pengambilan makanan. Ada kalanya doktor akan menasihatkan ibu-ibu supaya mengambil makanan dalam jumlah atau kuantiti yang sedikit tetapi tingkatkan kadar kekerapan pemakanan.


Berikut adalah panduan mengenai nutrisi yang diperlukan oleh ibu-ibu hamil:

  1. Karbohidrat dan lemak - sumber zat tenaga untuk penghasilan kalori. Boleh diperolehi dari bijirin seperti oat.
  2. Protein - sumber zat pertumbuhan sel. Boleh didapati dari daging, kekacang, ikan dan telur.
  3. Mineral - zat pengatur. Sumber dari sayur-sayuran dan buah-buahan.
  4. Vitamin B kompleks - menjaga sistem otot, saraf dan jantung, supaya berfungsi dengan normal. Birijin, kekacang, sayur hijau, produk tenusu (susu), telur dan sereal dapat membantu.
  5. Vitamin D - untuk pertumbuhan dan pembentukan tulang bayi. Minyak hati ikan, susu dan kuning telur antara penyumbangnya.
  6. Vitamin E - bagi pembentukan sel-sel darah merah yang sihat. Gandum, kekacang, minyak sayur dan sayur hijau boleh dimakan.
  7. Asid folik - perkembangan sistem saraf, dan sel darah. Keperluan asid folik semasa tempoh kehamilan adalah 800 mcg sehari terutamanya pada 12 minggu pertama kehamilan. Kekurangan mutrien ini boleh membawa kepada gangguan pembentukan otak yang boleh menyebabkan kecacatan pada susunan saraf atau pun otak bayi. Amalkan pengambilan bayam, brokoli, pisang dan tomato.
  8. Zat besi - mengelakkan berlakunya anemia di kalangan ibu mengandung. Sumber makanan adalah seperti bayam, kangkung, daging dan hati.
  9. Kalsium - bagi proses pembentukan tulang, dan gigi bayi serta menghalang ibu dari mengalami osteoporosis, yang mungkin berlaku melalui pengambilan kalsium dari tulang ibu sekiranya bekalan nutrien ini tidak mencukupi. Penyumbang nutrisi ini banyak di dalam sayur hijau, kekacang, susu dan produk tenusu.

Perkara penting yang perlu diingatkan adalah mengambil nutrisi pemakanan secara seimbang, iaitu tidak terlalu kurang dan juga tidak melebihi yang sepatutnya. Berjumpalah dengan doktor anda bagi mendapatkan kepastian mengenai cara pemakanan anda.
alammama: menurut cakap-cakap orang, kalau suka makan roti semasa hamil, kemungkinan besar bayi yang dilahirkan kurang mendapat jaundis, tapi kepastiannya belum tentu..

Sumber: Majalah wanita

0 ulasan: